Sinopsis Ringkas Mengikut Bab
Bab 1-Darah Pahlawan
Leftenan Adnan Wira Bangsa dimulakan dengan kisah Adnan (yang masih kecil) bersama keluarganya.Pak Saidi berasa amat gembira kerana dikurniakan tiga orang anak lelaki. Yang sulung bernama Adnan, yang tengah bernama Ahmad dan yang bongsu dinamakan Amarullah. Tiga beradik itu membesar di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor. Adnan sekeluarga memiliki darah pahlawan – moyangnya pernah membantu Dol Said menentang Inggeris di Naning. Namun begitu Pak Saidi tidak suka menghebah-hebahkan cerita itu kerana sentimen ‘siapa yang menentang Inggeris adalah penderhaka’ masih kuat ketika itu. Penjajah ( British) tidak suka kepada sesiapa yang menentang mereka. Mereka mahu menyedut keluar sebanyak banyaknya hasil bumi daripada Tanah Melayu.
Bab 2-Kampung Sungai Ramal
Adnan bermimpi menjadi adiwira sebagai Hang Tuah dan dapat menyelamatkan Kampung Sungai Ramal bersama-sama empat orang sahabatnya. Dia bermimpi suasana di kampung menjadi kelam-kabut, api menjulang tinggi ke angkasa dan beratus-ratus penyamun sedang menyerang penduduk kampung. Banyak penduduk kampung yang terbunuh manakala rumah pula banyak yang terbakar. Adnan sering bermimpi perkara yang aneh sejak kecil dan sering membayangkan dirinya sebagai Hang Tuah.Pagi-pagi Adnan ke kebun getah membantu ayahnya, setelah solat Zohor dia akan turun ke sawah pula untuk membantu ayahnya.
Bab 3-Harapan Seorang Ayah
Ketiga-tiga anak Pak Saidi berlari mendapatkannya selepas mendengar deringan bunyi loceng basikalnya. Pak Saidi berasa gembira kerana kepulangannya disambut oleh anak-anaknya yang sedang belatih silat di halaman rumah. Adnan melayan ayahnya dengan membawakan minuman. Selepas itu dia kembali berlatih silat bersama-sama adiknya. Mereka gemar bermain perang olok-olok dan biasanya Adnan yang selalu menang kerana sikapnya tidak mahu mengalah. Adnan juga memperlihatkan sikap kepahlawanan dan tanggungjawab walaupun ketika membantu keluarganya mahupun ketika bermain. Permintaan anak-anak Pak Saidi tidak pernah dikecewakan olehnya. Walaupun sudah dibuatkan keris daripada kayu, Adnan meminta ayahnya membuat senapang kayu pula.
Bab 4-Dusun Durian Di Tanah Perkuburan
Adnan menemani ayahnya Pak Saidi ke dusun durian berhampiran Tanah Perkuburan. Pak Saidi yang mewakafkan sebahagian daripada tanahnya menjadi Tanah Perkuburan sebab itulah dusun itu bersebelahan dengan Tanah Perkuburan. Sikap Pak Saidi yang dermawan menyebabkan orang kampung menyenanginya. Apabila tiba musim buah-buahan, dia selalu bersedekah buah-buahan kepada penduduk kampung. Pak Saidi menceritakan kepada anak-anaknya bahawa asal usul dia dan ibu Adnan dari Minangkabau, Indonesia. Dia juga menceritakan bahawa dia pernah membantu Dol Said Pahlawan Naning menentang British. Hal ini dirahsiakan supaya penduduk kampung tidak memandang serong. Pak Saidi menceritakan bagaimana Dol Said dilayan oleh British dengan baik sedangkan pengikutnya dibuang ke India. Pak Saidi juga menceritakan bagaimana British boleh masuk dan menjajah Tanah Melayu. Sejak itulah orang Melayu menentang penjajahan British bukan melalui senjata tetapi melalui politik.
Bab 5-Harapan Seorang Ibu
Adnan dan adik-adiknya berlatih silat pada waktu siang manakala pada waktu malam pula Adnan diajar mengaji oleh ayahnya dan ada kalanya dengan ibunya. Adnan menyatakan hasrat untuk bersekolah supaya menjadi pandai kelak. Ibunya Milah tidak bersetuju kalau Adnan bersekolah di sekolah Inggeris tetapi berbeza dengan pandangan Pak Saidi. Pak Saidi berpendapat belajar di sekolah Inggeris dapat mempelajari pelbagai ilmu berbanding sekolah agama ataupun sekolah Melayu. Milah menyatakan kebimbangan tentang pandangan orang kampung tetapi Pak Saidi menyatakan bahawa penentangan zaman sekarang bukan lagi menggunakan senjata tetapi berdasarkan pengetahuan yang setanding dengan orang Inggeris. Pak Saidi menyatakan hasrat menyekolahkan anak-anaknya di sekolah Inggeris kepada ketiga-tiga orang anaknya dan mereka menerimanya dengan senang hati. Milah juga akhirnya akur dengan kehendak Pak Saidi.
Bab 6-Guru Besar Steward
Pak Saidi menghantar Adnan ke sekolah Inggeris. Walaupun ramai penduduk kampung yang tidak mahu anaknya bersekolah Inggeris kerana kononnya akan menjadi murtad namun Pak Saidi berfikiran sebaliknya. Dia ingin anak-anaknya menjadi orang yang berpelajaran. Setiap pagi, sebelum pergi ke sawah, Pak Saidi mengayuh basikal menghantar Adnan ke sekolah Inggeris di pekan Sungai Ramal. Tengah hari dia menjemput anaknya dari sekolah. Syarat memakai baju baharu, seluar baharu dituruti oleh Pak Saidi.Walaupun sudah bersekolah di sekolah Inggeris, namun Pak Saidi tetapi mengajar anak-anaknya mengaji pada waktu malam agar anak-anaknya mempunyai jati diri yang kukuh dan tidak lupa asal usul dan berharap anak-anaknya tidak menjadi sepertinya yang miskin. Pak Saidi menasihati anak-anaknya supaya tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh orang lain.
Bab 7-Mereka Tidak Mengerti
Penduduk kampung menjadi gempar apabila mengetahui Pak Saidi menyekolahkan anaknya di sekolah Inggeris. Ternyata penduduk kampung tidak bersetuju dan membantah tindakan Pak Saidi. Abu mencadangkan kepada Tuk Ketua supaya meminta Pak Saidi tidak menghantar anaknya bersekolah di sekolah Inggeris dan menghalau mereka sekiranya mereka masih berdegil. Namun, Tuk Ketua menyatakan bahawa Pak Saidi dan anaknya orang baik sebaliknya anak Abu yang tidak elok perangai dengan mencuri buah-buahan penduduk kampung. Abu berasa marah dengan kelakuan anaknya dan anaknya Nordin menganggap Pak Saidi yang memberitahu Tuk Ketua akan hal ini. Mereka bercadang hendak mengenakan Pak Saidi.
Bab 8-Seteguh Karang
Karim bertemu Pak Saidi di warung. Selepas menyampaikan wang Ah Chong hasil jualan getah, Karim menyatakan bahawa Abu telah menghasut Tuk Ketua supaya mengambil tindakan terhadap Pak Saidi kerana menghantar anak belajar di sekolah Inggeris. Pak Saidi tidak mengambil endah tindakan yang akan diambil oleh Abu kerana dia yakin dia tidak melanggar undang-undang. Karim juga ingin tahu apa sebabnya Pak Saidi menghantar anak bersekolah di sekolah Inggeris. Pak Saidi menyatakan bahawa kita harus belajar dari bangsa yang berjaya supaya anak-anak kita dapat ilmu pengetahuan yang tinggi. Walaupun dia marah dengan British tetapi dia suka dengan ilmu yang mereka ada. Pak Saidi menyangkal anak-anak Karim yang perempuan semuanya tidak mampu untuk Berjaya sebaliknya di tangan merekalah nanti Negara akan lebih maju. Petang itu rumah Pak Saidi dikunjungi oleh Tuk Ketua kampung, Lebai Pian dan Pak Karim serta Isa. Pak Saidi menerangkan tujuan dia menyekolahkan Adnan di sekolah Inggeris. Guru Melayu yang mengajar di sekolah itu juga akan membantu memantau anak-anak mereka. Setelah bertukar-tukar pandangan akhirnya mereka setuju dengan pendapat Pak Saidi walaupun tidak disenangi oleh Lebai Pian.
Bab 9-Anak-Anak Kampung
Mamat menegur Adnan dan bertanya tentang keseronokan belajar di sekolah Inggeris. Adnan menyatakan keseronokannya belajar di situ dan mengajar Mamat beberapa perkataan bahasa Inggeris yang dipelajari. Mamat menyatakan ayahnya melarang dia belajar di sekolah Inggeris kerana khuatir dia lupa agama. Adnan menafikan bahawa dia tidak akan lupa agama dan tidak akan berubah walaupun sudah belajar di sekolah Inggeris apatah lagi di waktu malam dia tetap belajar mengaji dengan ayahnya. Mereka berbual-bual dengan Ahmad dan bercerita tentang cita-cita apabila besar nanti. Adnan mahu menjadi askar supaya dapat mempertahankan Negara dari serangan musuh. Malamnya, rumah mereka didatangi oleh dua lembaga yang tidak dikenali. Dengan keberanian Pak Saidi dan Adnan, lembaga itu lari lintang pukang, walaupun ada seorang yang mengena belatinya. Rupa-rupanya mereka mengerat tayar basikal milik Pak Saidi. Pak Saidi mendengar tentang Nordin yang sakit kaki. Dia membertahu isterinya mungkin Nordin salah seorang lembaga yang datang pada malam tempoh hari dan dibaling belati oleh Adnan. Di sekolah Adnan mendapat pujian atas sikap hormat dan kerajinan serta pendirian yang tetap untuk menjadi askar yang dinyatakan kepada Cikgu Anderson.
Bab 10-Masuk Jawi Basikal Baharu
Adnan akan berkhatan. Adnan resah apatah lagi Tuk Mudim sudah sampai. Walaupun Tuk Mudim berjenaka tetapi bagi Adnan itu bukanlah lawak. Rakan-rakan Adnan mengintai dari luar. Adnan menjadi bersemangat apabila ayahnya berjanji untuk membelikan basikal baharu apabila dia selesai berkhatan. Adnan bersemangat dan tidak gentar apabila dikhatankan. Dia tersenyum selepas dikhatankan. Kira-kira dua minggu kemudian, luka Adnan sembuh. Pada hari yang dijanjikan ayahnya membawa pulang sebuah basikal baharu.
Bab 11-Yakin Boleh
Pak Saidi bertanya kepada Adnan tentang persekolahannya. Adnan menyatakan bahawa dia seronok belajar di sekolah tersebut. Keesokan harinya Cikgu Nazri memulakan perhimpunan pagi dengan pengumuman tentang Pertandingan Syarahan dalam bahasa Inggeris. Hanya Adnan yang bersetuju untuk mengambil bahagian sedangkan rakan-rakannya yang lain tidak berminat kerana syarahan tersebut dalam bahasa Inggeris. Akhirnya Nizam, Ah Chong dan Ramasamy serta beberapa orang lain terangsang dengan semangat yang ditunjukkan oleh Adnan dan turut sama dalam pertandingan tersebut. Mak Milah bangga dengan semangat Adnan walaupun ditertawakan oleh rakan-rakannya. Pak Saidi dan Mak Milah memberikan semangat kepada Adnan dan semakin bertambahlah semangat berkobar-kobar Adnan kerana mereka berjanji akan hadir pada hari pertandingan tersebut. Akhirnya Adnan menjadi juara, Ah Chong mendapat tempat kedua manakala Nizam mendapat tempat ketiga.
Bab 12-Jaguh Kampung
Adnan dan rakan-rakan pasukan bola sepak Kampung Sungai Ramal berjaya mengalahkan pasukan bola sepak dari Kampung Merab. Kekalahan itu menyebabkan mereka tidak berpuas hati. Mereka mencadangan perlawanan tinju antara jaguh Kampung Sungai Ramal dan jaguh Kampung Sungai Merab. Cabaran itu disambut oleh Adnan yang dicadangkan oleh anak-anak muda kampungnya. Manakala Budin mewakili Kampung Sungai Merab. Perlawanan yang dirancang akhirnya berkesudahan dengan hampa apabila Budin dan Adnan berdamai kerana beranggapan pertandingan tersebut tidak sah kerana tidak dijalankan mengikut peraturan. Penyokong mereka tidak berpuas hati dan menyebarkan fitnah bahawa Budin dan Adnan bertinju dan mencuri rambutan Pak Samaun. Pak Saidi dan Pak Husin pulang ke rumah setelah mendengar berita tersebut. Setelah ditanya oleh Pak Saidi, Adnan menyatakan bahawa mereka tidak bertinju dan tidak mencuri rambutan kerana masih mendengar pesan ayahnya.
Bab 13-Darah Muda
Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar di sekolah Sungai Ramal. Tetapi Adnan tidak minat bekerja sebagai guru. Dia bercita-cita menjadi seorang askar. Namun ketika itu belum ada peluang menjadi askar Melayu.Semenjak kecil Adnan gemar mendengar cerita kisah pahlawan-pahlawan Melayu. Dari situ timbulnya semangat untuk menjadi askar Melayu bagi mempertahankan tanah air. Tambahan pula pada masa itu telah mula bertiup semangat kebangsaan di kalangan anak-anak muda terutama dalam kalangan guru-guru.
Bab 14-Askar Melayu Diraja
Tersebar berita mengenai ura-ura penubuhan askar Melayu. Inggeris akan mengambil anak-anak muda bagi dilatih menjadi askar. Maka semakin kuat keinginan Adnan hendak menjadi tentera. Pada suatu hari, Kampung Sungai Ramal dikunjungi oleh beberapa anggota tentera British yang bertujuan mencari anak-anak muda tempatan yang berkelayakan untuk diserapkan ke dalam pasukan Askar Melayu. Beberapa pemuda kampung termasuk Adnan Bin Saidi ingin memohon tetapi tidak dibenarkan oleh ibunya. Ibunya lebih suka Adnan terus menjadi guru mendidik anak bangsa. Tetapi Adnan tetap berkeras ingin menjadi tentera. Ayahnya Pak Saidi, merestui cita-cita anaknya. Akhirnya ibu Adnan mengalah.
Bab 15-Buku Bertemu Ruas
Adnan bersama beberapa orang rakannya, nekad keluar dari kampung untuk pergi ke kem latihan ketenteraan di Port Dickson. Mereka pergi Cuma berjalan kaki dan menumpang lori barang dari Kajang ke Seremban. Dan dari Seremban ke Port Dickson. Mereka telah diterima menjadi tentera selepas dimaklumkan oleh dua orang anggota tentera yang datang ke rumahnya.
Bab 16-Perwira
Setelah melaporkan diri di kem, Adnan dan Mamat terpaksa menjalani latihan fizikal dan mental bagi melayakkan diri untuk menjadi seorang tentera. Adnan menunjukkan kesungguhan yang mendalam semasa menjalani latihan sehingga terpilih rekrut terbaik dan seterusnya beliau diserapkan ke dalam pasukan Askar Melayu. Itulah saat yang paling mengembirakan hati Adnan. Setelah selesai upacara perbarisan, semua rekrut telah dimaklumkan mengenai perintah pertukaran. Adnan telah diumumkan akan bertukar ke Singapura manakala Mamat pula ditukar ke Kedah. Semua rekrut telah dibenarkan bercuti selama seminggu. Berita itu amat menggembirakan mereka kerana masing-masing terlalu rindukan pada keluarga yang telah lama ditinggalkan.
Bab 17-Kehidupan Baharu
Kerana kesungguhannya maka dalam waktu yang singkat, Adnan telah menerima kenaikan pangkat menjadi Sarjan pada tahun 1937. Pada tahun yang sama beliau turut terpilih menyertai upacara pertabalan King George VI di London. Tidak lama kemudian, Adnan dinaikkan pangkat sekali lagi menjadi seorang Leftenan. Sekembalinya Leftenan Adnan Saidi dari London, dia berkahwin dengan seorang guru dikampungnya bernama Sophia Pakih Muda
Bab 18-Berhari Raya Di Kampung
Mahligai perkahwinan Adnan dan Sophia amat bahagia ditambah seri dengan kehadiran tiga orang anak iaitu dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin dan seorang anak perempuan. Tetapi bayi perempuan itu meninggal dunia.Pada akhir tahun 1941, Leftenan Adnan Saidi ditempatkan di Pasir Panjang dan membawa keluarganya bersama-sama. Mereka tinggal di rumah besar di Pasir Panjang, dalam kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu. Mereka hidup bahagia.
Bab 19-Perang Dunia Kedua
Apabila berlaku Perang Dunia Pertama dan Jepun bersedia untuk menjajah Tanah Melayu maka Leftenan Adnan menghantar keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang. Ini merupakan masa yang gentir bagi Leftenan Adnan kerana isterinya, Sophia, sedang mengandungkan anak mereka yang ketiga. Ini merupakan kali terakhir mereka bersama. Dengan hati yang amat berat Sophia membawa anak-anaknya pulang ke kampung mereka di Kajang. Sekembalinya ke Singapura, Adnan mula mengatur persiapan. Askar Melayu dan tentera British bekerjasama membantu penduduk berpindah. Keadaan di Pasir Panjang sangat sunyi. Sebagai ketua yang menjaga Pasir Panjang, Adnan sentiasa bersiap sedia dan berjaga-jaga.
Bab 20-Bukit Candu
Leftenan Adnan diminta bertugas di Bukit Candu tetapi dalam masa yang sama Pasir Panjang juga di bawah tanggungjawabnya. Sarjan Arshad mencadangkan agar mereka mempertahankan satu tempat sahaja namun kebijaksanaan Adnan menyatakan bahawa British mahu mempertahankan Bukit Candu juga kerana di sebalik bukit tersebut ada kilang Candu kepunyaan Inggeris. Mereka pun berkemas ke Bukit Candu kerana kawasan tersebut merupakan kawasan yang penting. Di situ ada penduduk kampung yang tidak mahu berpindah. Adnan memerintahkan supaya dibina kubu. Setelah itu kubu-kubu siap dibina melalui gotong-royong. Keesokan harinya bertemankan Sarjan Hassan, Adnan berjumpa Penghulu Sidek bagi membincangkan masalah penduduk yang enggan berpindah. Mereka tidak Berjaya mengajak penduduk kampung berpindah. Apa yang boleh dibuat ialah memperketatkan kawalan dan mencadangkan pasukan pengawal kampung. Adnan gembira apabila mendapat surat daripada isterinya yang mengatakan bahawa semua ahli keluarganya dalam keadaan selamat. Sebenaranya askar British, Nepal dan India juga tidak berminat untuk meneruskan perjuangan. Adnan berpendapat bangsa Melayulah yang harus mempertahankan tanah air.
Bab 21-Di Ambang Perang
Sabtu 6 Disember 1941, berita kemaraan tentera Jepun bertiup kencang. Menurut Sir Thomas Philips bahawa askar Jepun akan menyerang Tanah Melayu. Walaupun dijangkakan serangan itu dapat dipatahkan namun mereka akan mengalami pertempuran yang sengit. Mereka menjangkakan askar Jepun akan mendarat di Kelantan dan Singapura.Cadangan Laksamana Thomas C. Hart mendapat persetujuan ramai. Dengan adanya pesawat peninjau, dapatlah pihak British mengetahui tahap kekuatan, jumlah tentera, dan mengesan lokasi mereka. Akhirnya penduduk kampung mula mempercayai bahawa Bukit Candu akan diserang dan mereka bersetuju untuk berpindah. Dalam keadaan yang genting itu, dua lembaga cuba menceroboh rumah penduduk kampung yang ditinggalkan. Dengan bantuan pengawal kampung dan askar, kedua-dua lembaga tersebut berjaya ditangkap. Rupa-rupanya mereka hendak mencuri dan salah seorang daripada mereka ialah Samad.
Bab 22-Hati-Hati Yang Resah
Pagi itu Leftenan Adnan dan pegawai-pegawainya berkumpul di depan pejabat pengkalan tentera di Bukit Candu. Mengikut jadual ada pengawai baharu yang akan datang melaporkan diri pada sebelah pagi dan pegawai tersebut tidak suka ditukarkan ke Bukit Candu. Akhirnya Kapten Rix datang pada sebelah tengah hari. Setelah sejam meninjau di udara akhiranya Pegawai Penerbangan Ramshaw melaporkan ternampak tiga buah kapal di lautan dan dipantai. Mereka berpendapat Jepun telah membuat persiapan untuk berperang. Apabila cuaca kembali reda, malam itu juga pesawat peninjau melaporkan konvoi Angkatan Tentera Jepun hilang dari lautan yang sepatutnya. Mereka berpendapat pihak musuh mengalih laluan. Tentera Britsih mengerahkan semua pasukan berjaga-jaga. Adnan memberikan taklimat di Bukit Candu dan Pasir Panjang supaya mempertingkatkan kawalan. Dalam waktu yang sama, Tijah memerhatikan Sophia yang semakin berubah. Sophia kelihatan termenung dan gelisah. Sophia begitu bimbang dengan nasib Adnan. Dia takut kehilangan Adnan.
Bab 23-Bermulanya Sengketa
Penduduk di Tanah Melayu mula berasa cemas dengan berita tentera Jepun akan menyerang. Namun ada juga yang berasa gembira kononnya Jepun hendak menghalau penjajah dan memerdekakan Tanah Melayu. Penduduk kampung Sungai Ramal juga bercerita mengenai perang. Pak Saidi tetap tidak mahu berlakunya perang. Namun dia berserah kepada takdir kerana tiga orang anaknya iaitu Leftenan Adnan dalam askar Melayu, Ahmad dalam angkatan tentera Laut dalam kapal HMS Pelanduk, dan Amarullah juga dalam askar Melayu. Pak Saidi bangga kerana ketiga anaknya berada dalam angkatan tentera. Namun ibunya tetap risau sekiranya berlaku peperangan.Leftenan Adnan sering mengutus surat kepada adik-adiknya sambil memberi kata-kata perangsang supaya berjuang bersungguh-sungguh demi tanah air.
Bab 24-Perangkap Tidak Mengena
Sejurus selepas tengah malam, tentera Jepun bergerak ke arah pantai yang dipertahankan oleh pasukan India British yang mengawal pantai. Pasukan meriam British mula membedil sepanjang kawasan persisiran pantai dan laut sewaktu telah jelas bahawa tentera Jepun sudah memulakan pendaratan mereka. Tembakan suar menerangkan kawasan pendaratan Jepun dan unit Dogra mula menembak ke arah pesawat pendarat sebaik sahaja pesawat itu diterangi suar. Usaha pertahanan dilakukan bersungguh-sungguh oleh unit Dogras tetapi mereka menghadapi tentangan yang sengit. Kubu mesingan (MG) di pantai digunakan dengan berkesan terhadap tentera Jepun yang mula mendarat dipantai dan membunuh banyak askar Jepunm termasuk komander batalionnya iaitu Mejar Nakamura yang mengetuai orang-orangnya menyerbu kedudukan musuh. Kolonel Masanobu Tsuji menulis dalam bukunya mengenai Kempen Tanah Melayu: "Kubu-kubu kecil musuh yang disediakan dengan teliti bertindak dengan ganas dan sepenuh kekuatan sehinggakan orang-orang kami terbaring di pantai, separuh dalam air, separuh di pantai, tidak dapat mengangkat kepala mereka". Tidak sehingga tentera Jepun memusatkan serangan mereka terhadap dua buah kubu kecil dan parit pertahanan sokongan yang menguasai kawasan pendaratan, barulah mereka menguasai tempat mendarat. Dalam pertempuran secara berhadapan, tentera Jepun berjaya menumpaskan tentera India British yang bertahan kawasan penting ini. Semasa pertempuran ini berlaku, gelombang penyerang kedua tersangkut di pantai terbuka dihujani tembakan meriam British yang mengakibatkan jumlah korban yang teruk. Bagaimanapun, sebaik sahaja kubu kecil telah dimusnahkan, pasukan ini mampu bergerak ke hadapan dan mebolosi kedudukan Dogra. Walaupun membuat serang balas, kedudukan supai India tidak dapat dipertahankan lagi dan pasukan pertahanan mula berundur.
Bab 25-Gagalnya Operasi Matador
Pada 8 Disember 1941, dalam mesyuarat tergempar di Bilik Gerakan Pengkalan Tentera British di Kota Bharu, Pemerintah Kor, Jeneral Heath memaklumkan bahawa tinjauan udara di Teluk Siam mendapati adanya pergerakan besar-besaran tentera Jepun di Songkhla dan Pattani. Ops Matador dilancarkan oleh Jeneral Heath. Oleh sebab Jeneral A.E. Percival yang dipertanggungjawabkan mendapat berita tersebut lewat akhirnya tentera Jepun sudahpun mendarat di Kota Bharu. Namun tersekat di Sungai Kelantan kerana ada kubu tentera British di situ. Pertempuran sengit berlaku dan akhirnya tentera Jepun Berjaya memasuki Kelantan. Pegawai dan askar yang menjaga Lapangan Terbang Pengkalan Chepa lari ke Stesen Kereta Api Kuala Krai. Mereka akhirnya membakar Lapangan Terbang Pengkalan Chepa agar pihak musuh tidak dapat menggunakannya. Jerangkap samar yang dipasang di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa telah menyebabkan ramai askar Jepun terbunuh. Akhirnya tentera Jepun Berjaya menawan Kelantan. Pada 9 Disember 1941, tentera Jepun menempatkan askarnya di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa. Tentera British menggugurkan bom seberat 250 paun dan tepat mengenai sasaran kapal pengangkut IJN Awajisan Maru yang perupakan kapal Jepun pertama yang ditenggelamkan dalam Perang Dunia Kedua. Tentera membalas serangan tentera British di Butterworth dan juga di Kuantan, Alor Star dan Sungai Petani.
Bab 26-Serangan Bertali Arus
Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang telah diserang oleh tentera Jepun dalam masa yang singkat. Harapan tentera British ialah tentera laut. Kapal perang kebangaan British HMS Prince of Wales dan HMS Repulse meninggalkan Singapura menuju ke Kelantan. Walau bagaimanapun pergerakan kapal perang itu Berjaya dikesan oleh pihak Jepun. Sepuluh buah pesawat Jepun diarahkan melakukan serangan kamikaze terhadap dua buah kapal perang British itu. Akhirnya dua buah kapal perang British Berjaya ditenggelamkan oleh tentera Jepun. Pada 11 Disember 1941, Jeneral A.E. Percival memerintahkan Regimen Punjab menyekat kemaraan tentera Jepun di Changlun. Tentera Jepun menggunakan kereta kebal bagi menyerang tentera Punjab. Pada 12 Disember 1941, Jeneral Yamashita memerintahkan 85 buah pesawat pengebom Jepun menyerang pertahanan Brtish di Pulau Pinang. Walau bagaimanapun mereka tersalah sasar dengan membuat serangan terhadap kawasan awam. Pada hari yang sama tentera Jepun bergerak ke Jitra. Tentera Jepun menggunakan kereta kebal dan bedilan artileri untuk memberikan lalukan kepada tentera infantry menyerang garisan pertahanan yang dijaga Batalion Punjab dan Gurkha. Walau bagaimapaun tentera ini dapat ditewaskan. Tangisan Mak Milah mengejutkan Sophia di dapur. Ahmad anak mereka telah terkorban di medan perang dan turut tersemadi di dasar laut. Hati Sophia dirundung kebimbangan memikirkan nasib suaminya.
Bab 27-Perancangan Dua Jeneral
31 Januari 1942, penduduk Johor Bahru gembar dengan kehadiran ramai tentera Jepun. Mereka yang tiba dengan berjalan kaki dan menaiki basikal kelihatan berkeliaran di mana-mana. Akibat tiada pertahanan yang kukuh di Johor, tentera Jepun Berjaya menawan satu persatu negeri di Tanah Melayu. Hal ini memberikan tamparan kepada tentera British yang selama ini dianggap paling kuat di dunia. Akibat kekalahan itu, Panglima Tertinggi British di Timur Jauh, Sir Robert Brooke-Popham dilucutkan jawatan dan digantikan oleh Leftenan Jeneral Sir Henry Pownall. Pada petang 31 Januari 1942, seluruh Semenanjung Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun. Pasukan tentera British yang terakhir meninggalkan Tanah Melayu telah meletupkan Tambak Johor sebagai usaha menyekat kemaraan Jepun. Samad dijadikan sebagai pengintip tentera Jepun memerhati gerak tentera British. Hasil dari maklumat Samad, pengintip Jepun telah melaporkan kepada markas di Kluang. Kapten Rix dan Leftenan Adnan mengatur persiapan menentang tentera Jepun. Leftenan Adnan kecewa kerana tentera asing tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Tanah Melayu.
Bab 28-Pertempuran Demi Pertempuran
3 Februari 1942, Tentera Jepun telah bersedia untuk melancarkan serangan. Jeneral Yamashita menghantar 13000 orang tentera elitnya bagi melakukan pendaratan di bahagian utara Singapura berhampiran Sarimbun. Jeneral Yamashita mengarahkan supaya tenteranya memusnahkan tangki-tangki minyak di Pelabuhan Tentera Laut Singapura. Pasukan atileri Jepun pula menyerang Pengkalan Udara Tengah di Seletar dan di Sembawang. Markas tentera Jepun dipindahkan ke Istana Bukit Serene di Johor Bahru. Pertempuran di ruang udara Singapura berlangsung sepanjang hari dari pagi hingga ke petang. British terpaksa memindahkan kapal terbang Hurricanes dan Buffaloes yang selamat ke Palembang. Masalah pentadbiran dan kawalan menyebabkan pertahanan tentera Berikat semakin lemah. Rejimen Askar Melayu bersungguh-sungguh mempertahankan kedudukan. Satu-satunya pasukan yang masih bersemangat untuk bertempur dengan tentera Jepun ialah askar Melayu. Adnan dan anggotanya tetap akan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir walaupun anggota pasukannya tidak ramai tetapi dia percaya hanya dengan semangat juang yang tinggi mampu memberikan tentangan sengit kepada musuh.
Bab 29-Terus Berjuang
Leftenan Adnan curiga dengan Samad yang lalu-lalang di hadapan pengkalan. Petang itu Penghulu Deraman daripada pengawal kampong datang bertemu Leftenan Adnan untuk menyatakan persediaan mereka bertempur membantu pasukan askar Melayu menentang tentera Jepun. Dalam perbincangan mereka mengagak bahawa Samad dan dua orang adalah pengintip Jepun dan menganggap tali barut seperti Samad tidak harus dibiarkan. Malam itu Penghulu Deraman Berjaya mengesahkan bahawa Samad adalah tali barut Jepun. Malam keesokannya mereka berjaya dikalahkan. Jeneral Yamashita berang apabila tiga orang pengintipnya mati ditembak askar Melayu. Berita pertahanan Pasir Panjang diserang tentera Jepun menambahkan kebimbangan Jenaral A.E. Percival. Tentera Jepun mengubah taktik serangan dengan menggunakan kereta kebal. Kemaraan mereka ditentang hebat pasukan askar Melayu. Setelah beberapa buah kereta kebal Jepun dapat dimusnahkan, akhirnya tentera Jepun berundur semula ke Jurong. Askar Melayu diserang oleh tentera Jepun yang marah. Berita itu menggusarkan Leftenan Adnan. Apatah lagi Kapten Rix bagai membiarkan sahaja askar Melayu mempertahankan Pasir Panjang.
Bab 30-Serangan Balas
Askar Melayu keletihan sebab tidak cukup tidur dan tidak tentu makan. Selepas solat Subuh, mereka kembali menjalankan tugas masing-masing. Suasana hening menjadi gempar apabila dikejutkan dengan berita tentera Jepun sudah datang. Adnan mengarahkan anggotanya bersiap sedia. Tentera Jepun menghantar utusan untuk berunding. Adnan tetap tidak mahu berundur diikuti dengan pengeboman tentera Jepun dari udara. Pertempuran berlaku antara kedua-dua pihak. Banyak nyawa yang terkorban. Kompeni C begitu mempertahankan Bukit Candu. Pertempuran ini memperlihatkan semangat juang askar Melayu lebih komited dan berani. Namun tidak berupaya mengalahkan askar Melayu. Hal ini menimbulkan kemarahan tentera Jepun. Pertempuran berlaku di Pasir Panjang menyebabkan anggota Leftenan Adnan hendak membantu tetapi dihalang oleh Adnan. Adnan bimbang Bukit Candu akan diserang. Tentera Jepun menyamar dengan memakai pakaian tentera Sikh telah ditawan. Adnan tidak sedap hati kerana dia tidak dimaklumkan tentang hal itu. Akhirnya Adnan menyerang tentera Jepun yang menyamar dan menyebabkan tentera Jepun banyak kehilangan nyawa.
Bab 31-Biar Putih Tulang
Mejar Kimura bersetuju agar tentera Jepun menggempur askar Melayu petang tersebut hingga musnah.Dari puncak Bukit Candu, askar Melayu dapat melihat dengan jelas tentera Jepun sedang mara. Tentera Jepun yang menyangka pertahanan di Bukit Candu telah musnah tiba-tiba dihujani dengan tembakan mesingan dari arah bukit. Tidak lama kemudian kapal terbang Jepun menyerang semula kedudukan mereka. Ternyata pertahanan askar Melayu di Bukit Candu masih kukuh. Koperal Senin, Lans Koperal Yusof turut terkorban. Keadaan semakin genting kerana musuh menyerang dari pelbagai arah. Kapten Rix cedera parah dan akhirnya meninggal dunia. Tembakan yang dilepaskan oleh askar Melayu sudah tidak serancak mula-mula tadi Adnan memerintahkan supaya jangan berundur dan mengalah. Penghulu Deraman, Deris dan Haji Burhan berasa sedih kerana tidak dapat membantu Adnan sebagaimana janjinya.
Bab 32-Tumpah Darah Perwira
Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis Gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet tetapi mereka kekal bertahan menyebabkan pihak musuh kecewa. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannya telah menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh. Tentera Jepun marah kerana keberaniannya menentang musuh sehingga ramai yang terkorban telah berjaya menawan Leftenan Adnan lalu diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan Leftenan Adnan yang cedera parah itu pada dahan pokok ceri. Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah berbaris panjang kemudian mereka berjalan di bawah pokok ceri itu. Setiap orang yang lalu di bawah pokok ceri itu telah menikam tubuh Leftenan Adnan yang tergantung pada pokok tersebut dengan bayonet. Kejadian itu dilihat oleh Koperal Yaakob.
Bab 33-Jatuhnya Kota Singa
Dua hari selepas pertempuran di Bukit Candu dan setelah askar British menyerah kalah, Haji Burhan dan beberapa orang penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan Bukit Candu telah memanjat bukit tersebut. Mereka menjumpai sebuah banglo lalu memasukinya. Di sana terlihat berpuluh mayat askar Melayu bergelimpangan. Ada yang putus lehernya dan ada pula yang terburai perutnya akibat tikaman dan tetakan senjata tajam. Mereka juga terjumpa seorang yang masih hidup lalu merawatnya. Kemudian Kopral Yaakob pun menceritakan kehebatan askar Melayu menentang Jepun sehingga ke titisan darah terakhir. Kemudian penduduk kampung mengumpulkan mayat-mayat askar Melayu lalu mengebumikannya.
Bab 34-Darah Mengalir di Sungai Ramal
Pada suatu hari berpuluh-puluh askar Jepun sampai ke kampung Sungai Ramal, Kajang. Mereka mencari keluarga Leftenan Adnan. Tetapi penduduk kampung telah berpakat tidak akan bekerjasama dengan tentera Jepun. Mereka menyembunyikan keluarga Leftenan Adnan. Keberanian Leftenan Adnan menjadi pencetus semangat anak-anak muda bagi menentang tentera Jepun. Ramai yang menyertai pasukan pembebasan rakyat bagi menentang pendudukan Jepun di tanah Melayu
Bab 35-Perjuangan Belum Berakhir
Penduduk Pekan Sungai Ramal hidup dalam ketakutan dan kesusahan di bawah pemerintahan Jepun. Peniaga-peniaga Cina menutup kedai kerana takut dengan keganasan Jepun. Penduduk kampung yang menjadi mangsa hidup dengan serba kekurangan. Rakyat terpaksa makan ubi, pisang ,dan apa saja yang boleh menjadi alas perut. Sophia dan anak-anaknya dijaga oleh ayahnya iaitu Pakih Muda. Sophia diuji lagi dengan kematian anak perempuannya, Fatimah akibat demam panas. Pada 15 Ogos 1945, Jepun telah menyerah kalah dan Tanah Melayu diperintah semula oleh British. Rakyat telah kembali memulakan kehidupan baru dengan mengerjakan ladang dan sawah sebagai kegiatan harian. Sophia bekerja di sawah dan menoreh getah untuk menyara anak-anaknya. Setelah Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal dibuka semula, Sophia telah ditawarkan semula mengajar di sekolah itu. Pada hari pertama memulakan tugas di sekolah, Sophia telah berkenalan dengan Ustaz Ridwan dan akhirnya mereka berdua telah berkahwin menjadi pasangan suami isteri yang bahagia. Selepas empat tahun berkahwin, mereka telah berpindah ke Melaka. Sophia disahkan menghidap penyakit leukimia dan meninggal dunia.
Untuk Sinopsis Ringkas:
http://komsas4.blogspot.com/2017/02/sinopsis-leftenan-adnan-wira-bangsa.html